Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fadzil Ha­shim berkata, siri animasi yang berdurasi antara satu hingga tiga minit itu boleh dilayari dengan menggunakan platform dalam talian, aflix.

“Siri animasi Brainy Bunch ini mengisahkan mengenai pengembaraan lima sahabat dalam mempelajari ilmu baharu seperti pengiraan, adab, bacaan, pemakanan sihat dan lain-lain.

“Animasi ini mendapat idea daripada kartun terke­nal kanak-kanak, Pocoyo yang mengajar mengenai nilai-nilai persahabatan dan pengetahuan dengan iringan suara latar bagi membim­bing dan membantu mereka dalam pengembaraan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pe­ngerusi Brainy Bunch, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Menurut Mohd. Fadzil, projek tersebut yang di­usahakan oleh anak syarikatnya, Brainy Apps turut mendapat sokongan kewa­ngan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Tabung Pembangunan Industri Kreatif (CIDF-MCMC).

Pada masa sama katanya, kandungan siri animasi tersebut juga mendapat khidmat nasihat profesional daripada penasihat syariah bagi memastikan penyampaian yang sesuai dengan usia perkembangan kanak-kanak.

Katanya, setiap episod animasi tersebut disuntik dengan elemen SPICE iaitu semangat (spiritual), fizikal (physical), kepandaian (intelligence), kreatif (creative) dan emosi (emotional) bagi menggalakkan perkembangan­ minda dan daya fikir kanak-kanak.

“Selain itu, animasi ini juga menggunakan silibus pembelajaran yang digunakan di sekolah montessori. Ini menjadikannya sesuai untuk murid belajar bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

“Animasi ini sesuai untuk ditonton kanak-kanak yang berumur dua hingga enam tahun kerana susunan jalan cerita dan dialognya menggunakan bahasa Inggeris yang sangat mudah difahami dan menghiburkan,” katanya.