Johnson membandingkan wanita memakai niqab dengan perompak bank atau peti surat dalam satu artikel dalam akhbar Daily Telegarph.

Ahli Parlimen Konservatif itu berdepan satu siasatan panel kerana mungkin melanggar kod tingkah laku parti beliau, langkah pertama tindakan disiplin yang dicadangkan oleh beberapa anggota Parlimen Konservatif dan pertubuhan bebas.

Komen Johnson itu mencetuskan kritikan daripada parti beliau sendiri termasuk Perdana Menteri, Theresa May selain menimbulkan persoalan tentang sama ada pemimpin itu memenuhi kehendak golongan berhaluan kanan dengan menggalakkan Islamofobia.

Johnson meletak jawatan daripada Kabinet May Julai lalu dalam pertikaian berhubung rancangan Perdana Menteri untuk keluar daripada Kesatuan Eropah yang menurut ahli Parlimen itu tidak serius.

Bekas setiausaha luar itu disebut-sebut sebagai pengganti May sekiranya Perdana Menteri meletak jawatan dan beliau mempunyai sokongan daripada Konservatif untuk memegang jawatan utama berkenaan.

Johnson baru-baru ini dilapor mengadakan perjumpaan secara rahsia dengan individu berhaluan kanan Amerika Syarikat (AS) Steve Bannon yang merupakan bekas penasihat kepada Presiden AS, Donald Trump.

Bannon kemudiannya menyokong idea Johson untuk menggantikan May dengan membuat kenyataan bulan lalu bahawa sudah tiba masa bagi ahli Parlimen itu mencabar Perdana Menteri.

Al Jazeera melaporkan, jika didapati melanggar kod tingkah laku Parti Konservatif, Johnson mungkin dipecat daripada parti.

Beratus-ratus wanita Islam yang memakai niqab menulis kepada Pengerusi Parti Konservatif, Brandon Lewis menggesa Johson dipecat daripada parti itu.

“Keputusan kami memakai niqab atau burka bukannya mudah ekoran kebencian yang dialami kebanyakan kami setiap hari. Kami melakukannya kerana kami percaya ia mendekatkan kami dengan Tuhan,” kata kumpulan wanita itu dalam sepucuk surat.

Lewis dan May kedua-dua mengkritik kenyataan Johnson dan menggesa pemimpin itu meminta maaf namun beliau enggan untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Majlis Islam Britain, semalam mengalu-alukan keputusan parti melancarkan siasatan berhubung komen yang dibuat Johnson.