Kerajaan negeri memutuskan untuk membuat pembayaran lebih awal, bukannya selepas perayaan itu setelah beberapa aspek teknikal dapat diselesaikan.

Lebih 12,000 penjawat awam tanpa mengira status akan menikmati bayaran bonus atau Bantuan Khas Aidilfitri 2018 berjumlah RM500

Perkembangan terbaharu itu diumumkan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, bayaran bantuan khas itu melibatkan semua penjawat awam sama ada latikan tetap, sementara, kontrak, lantikan ad hoc atau sambilan harian.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah yang mengumumkan berita gembira itu berkata, bantuan khas itu diberi bagi membantu penjawat awam membuat persediaan menyambut perayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, bayaran itu yang diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco dijangka mula diagihkan selepas Aidilfitri atas sebab tertentu termasuk masalah teknikal.- UTUSAN ONLINE