Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sedar jumlah tersebut mungkin berkurangan berban­ding pemberian pada tahun-tahun sebelumnya.

“Tetapi dalam keadaan kerajaan negeri kekurangan dana, maka kita perlulah berbelaja secara berhemah.

“Pada masa sama, kita nak pastikan kakitangan yang paling rendah itu tetap menerima bantuan walaupun sedikit. Setakat ini itulah keputusannya iaitu mencontohi Kerajaan Persekutuan dengan pemberian RM400 kepada gred 41 ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program membeli-belah bersama 96 pelajar kurang berkemampuan dari seluruh ne­geri ini di pasar raya besar Mydin, Taman Saga dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pene­rangan, Kesihatan dan Pemba­ngunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ismail Salleh; Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Saduruddin Gulam Husen serta Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyifatkan pelantikan Tommy Thomas selaku Peguam Negara yang baharu adalah tepat bagi membantu kerajaan Pusat menjayakan segala siasatan dan tindakan undang-undang terhadap sebegitu banyak kes berbangkit sepanjang pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Yang paling khusus adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana kita melihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil bekas peguam negara Amerika Syarikat (AS), John Ashcroft sebagai penasihat undang-undangnya,” katanya.