Najib berkata, bantuan berjumlah RM500 setiap seorang itu mula diberikan mulai hari ini yang membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan soal kebajikan masyarakat luar bandar.

“Apabila Kementerian Luar Bandar dan Wilayah mencadangkan kerajaan membantu penoreh getah, saya terus telefon Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dia kata untuk masyarakat luar bandar kalau itu kehendak kerajaan dia akan cari juga wang untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah.

“Bantuan khas ini akan memberi manfaat kepada seramai 307,770 orang pekebun kecil dan kita juga buat keputusan untuk berikan bantuan yang sama kepada 80,341 orang penoreh getah yang tidak memiliki kebun sendiri atau menoreh di tanah milik orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Menurut Najib, bantuan khas itu juga bukan gula-gula yang diberikan untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

“Ini bukan kerana PRK. Kita telah beri bantuan yang sama pa­da 2013, 2014 dan ini merupakan kali ketiga.

“Kalau ada yang kata bantuan ini disebabkan PRK, itu tidak be­tul, itu bidaah semata-mata. Ini soal kebajikan masyarakat luar bandar,” jelasnya.

Malah kata beliau, bantuan ter­sebut juga membuktikan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik hasil daripada pengurusan kewangan kerajaan yang cemerlang.

“Kalau ekonomi negara kita tidak baik, macam mana bantuan kepada pekebun kecil dan penoreh getah ini boleh diumumkan,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mulai hari ini pekebun kecil dan penoreh getah yang ber­daftar dengan RISDA boleh mula menerima bantuan RM500 tersebut di pejabat RISDA.

Katanya, RISDA diminta menyelesaikan pengagihan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 kepada 388,111 pekebun kecil dan penoreh getah dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun katanya, pekebun kecil dan penoreh perlu mengemukakan bukti kepada pi­hak RISDA terlebih dahulu sebelum boleh menuntut bantuan tersebut.