Gegantung yang dicipta khas oleh Ultras Malaya itu diserahkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang pada Khamis lalu sebelum digantung di Ibu pejabat JBPM Selangor di Bukit Jelutong, Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya menghargai jasa dan penghargaan diberikan terhadap mereka yang prihatin dengan pengorbanan anggota bomba.

“Keputusan menggantung gegantung itu dibuat sebagai memperingati pengorbanan enam anggota bomba yang terkorban sebelum ini dan menghargai pihak yang mengenang jasa kami.

“Setakat ini kita tidak meletakkan sebarang tempoh penggantungan gegantung tersebut,” katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Gegantung tersebut berjaya mencuri tumpuan selepas dipamerkan oleh kumpulan penyokong bola sepak tempatan, Ultras Malaya sewaktu perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF antara Malaysia dan Laos di Stadiuam Nasional Bukit Jalil pada Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE