Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kerjasama dari semua pihak termasuk orang ramai dan Jabatan Agama Islam negeri diperlukan untuk menyalurkan maklumat mengenai kewujudan institusi tersebut bagi mengelak insiden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah daripada berulang.

“Kalau maahad tahfiz yang berdaftar, tiada masalah sangat. Mereka datang kepada pihak bomba kerana salah satu syarat untuk pendaftaran, mesti mendapatkan kelulusan Jabatan Bomba.

“Cuma yang tidak berdaftar ini kita bimbang, maknanya tiada kelulusan bomba. Bomba terpaksa cari. Mungkin orang ramai yang mengetahui kewujudan maahad tahfiz di kawasan mereka boleh memaklumkan pada bomba untuk pemeriksaan dilakukan.

“Ketika ini, pemeriksaan ke atas maahad tahfiz berdaftar masih berjalan dan kami memerlukan masa sebulan. Pada masa sama, kami akan beri maklum balas kepada Kabinet dari semasa ke semasa termasuk masalah yang dihadapi oleh maahad tahfiz ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ringlet yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE