Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Soiman Jahid berkata, seramai 15,000 orang pegawai dan anggota berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan menghadapi bencana yang dijangka pada penghujung tahun ini.

Kata beliau, dalam hal ini, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi keselamatan lain.

“Setakat ini, kita sudah membuat persiapan daripada segi peralatan dan jentera tertentu di bahagian logistik. Begitu juga dengan persediaan anggota yang kini giat menjalani latihan menyelamat dalam skala besar bagi menghadapi situasi kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pengarah JBPM negeri di Ibu Pejabat JBPM Perlis di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Timbalan Pengarah Bomba negeri, Khairull Rizall Yahaya telah dilantik memangku jawatan pengarah bagi menggantikan Mohd. Fadzil Haroon yang bersara wajib pada umur 60 tahun.

Pengarah baharu untuk mengisi jawatan tersebut dijangka dilantik pada November depan.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan pulau-pulau yang terdedah dengan fenomena monsun timur pada hujung tahun ini, Soiman berkata, pihaknya sudah mengambil kira langkah keselamatan yang perlu.

“Kita sudah memberikan penerangan mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil oleh penduduk setempat agar mereka lebih bersedia menghadapi bencana,” katanya.- UTUSAN ONLINE