Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan tahap keselamatan kebakaran di 40 buah premis bermula 17 Mei lalu dan baki 55 buah premis lagi akan diperiksa sebelum tiba Syawal minggu hadapan.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan dijalankan bagi memastikan pemasangan alatan keselamatan kebakaran dibuat dengan sempurna kerana kebanyakan pengusaha biasanya leka pada musim perayaan.

"Pengusaha pasar raya umpamanya terlalu leka membuat promosi dengan meletakkan barang jualan atas tangga premis yang boleh menghalang laluan keluar jika berlaku kebakaran.

"Ada juga yang menggantung kain rentang sehingga melitupi sistem perenjis air, pengusaha sepatutnya berfikiran lebih jauh dan mengambil berat keselamatan pelanggan mereka," katanya selepas melancarkan Program Menghapus Bahaya Kebakaran Musim Perayaan dan Penyediaan Bubur Lambuk di Hotel Perdana, di sini hari ini.

Pada majlis itu, pihak JBPM negeri dan Hotel Perdana telah bekerjasama menyediakan 3,000 bungkus bubur lambuk dan kuih 'butir nangka' kepada pengguna jalan raya.

Yang turut hadir, Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Perdana, Amer Ahmad.

Menurut Nazili, pengusaha premis yang tidak mematuhi peraturan keselamatan boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Jelasnya, pihak bomba mengeluarkan 99 notis sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun lalu dengan dua kes daripadanya disabitkan kesalahan dengan nilai kompaun RM18,000. - UTUSAN ONLINE