Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, Kuala Lumpur merupakan kawasan pembinaan dan rendah yang berpotensi tinggi untuk berlakunya banjir.

Kita sudah memaklumkan kepada Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kawalan Bangunan (JKB) untuk memantau kerja-kerja pembinaan yang dilakukan agar mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Ia juga bertujuan untuk memastikan aliran-aliran longkang, parit dan sungai tidak terhalang dengan bahan pembinaan yang akan menyebabkan saluran itu tersumbat pada musim hujan yang berlaku ketika ini,"katanya kepada pemberita pada sidang media dekat sini hari ini.

Jelas Khirudin, pihaknya dengan keseluruhan anggota seramai 983 anggota sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir besar atau kilat di negeri ini.

"Anggota sudah mula menguji kesemua aset-aset dan menyusun peralatan yang akan digunakan bagi memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas dengan bencana berkenaan.

"Pihak kami juga sedang memantau kawasan-kawasan yang cenderung dinaiki air melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dan mengikuti maklumat taburan hujan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya.

Khirudin berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-kanak (Kelab 3K) yang disertai seramai 1,000 murid berusia enam tahun dari 50 buah tadika sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, melalui program Kelab 3K, pelajar dilatih mengenai teknik dan prosedur keselamatan apabila berlakunya kecemasan dan memberi kefahaman asas keselamatan kebakaran kepada kanak-kanak.  - UTUSAN ONLINE