Wan Ahmad Najmuddin akhirnya menggantung pakaian seragam dan merancang mahu pulang ke kampung halamannya di Besut, Terengganu serta melakukan aktiviti menjala ikan.

Menurutnya, aktiviti itu memang diimpikan selama ini kerana ia tidak berpeluang melakukannya sebelum ini kerana sibuk bekerja.

“Jika Ketua Polis Negara mahu mengusaha ladang durian dan berkahwin, saya pula mahu menjala ikan bagi meluangkan masa persaraan nanti.

“Saya sudah pun membeli jala dan menunjukkannya pada Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini yang merupakan jiran sebelah rumah saya di Shah Alam,” katanya semasa berucap selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini.

Majlis disempurnakan oleh Mohamad Fuzi dan disaksikan timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Pada majlis itu seramai 13 pegawai kanan polis turut menerima kenaikan pangkat manakala 93 anggota polis dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Wan Ahmad Najmuddin, 60, berkata, beliau yang hanya bermula dengan kelulusan tingkatan lima sama sekali tidak menyangka dapat bertahan selama 40 tahun dalam polis sehingga menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Bagaimanapun, kata beliau, penyertaannya dalam polis merupakan satu kebanggaan dan simbol keberaniannya.

Wan Najmuddin menambah, sudah tentu kenangan bersama Polis Diraja Malaysia dan sahabat-sahabat akan dirinduinya. – UTUSAN ONLINE