Menurut peguam Ong Chee Kwan yang mewakili ketiga-tiga syarikat tersebut sebagai plaintif, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris memutuskan demikian mengikut Peraturan 29 Aturan 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 selepas mende­ngar hujah permohonan tersebut di kamar hakim.

Tambahnya, penjualan yang akan dibuat secara tender awam, dijadualkan dibuat secepat mungkin iaitu sebelum penghujung tahun ini.

“Langkah seterusnya ialah mendapat penghakiman ingkar daripada mahkamah. Sebaik sahaja kita mendapat penghakiman ingkar tersebut, kita (plaintif) boleh menuntut hasil jualan kapal itu,” katanya.

Permohonan untuk mempercepatkan penjualan tersebut yang difailkan pada 6 Ogos lalu dengan 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Global Investment Limited dan Kerajaan Malaysia selaku plaintif pertama hingga keempat.

Kerajaan Malaysia diwakili Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke dan Zureen Elina Md. Dom.

Defendan dalam permohonan terbabit ialah ‘Pemilik Kapal Equanimity dari Kepulauan Cayman’.

Plaintif memohon agar penjualan kapal itu dipercepatkan atas alasan mengelakkan kos penyelenggaraan dan penjagaan Equanimity semakin meningkat serta keadaannya yang semakin merosot ekoran terdedah dengan laut dan cuaca tidak menentu yang boleh menyebabkan susut nilai yang lebih teruk.

Menjawab pertanyaan berhubung harga jualan kapal yang dianggarkan bernilai RM1 bilion, Chee Kwan memberitahu, perkara itu akan ditetapkan kemudian selepas penilaian dibuat oleh jurunilai.

Sementara itu, peguam terbabit memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang bantahan atau notis daripada mana-mana pihak atau individu.

“Kami tidak menerima sebarang kehadiran oleh peguam defendan hari ini. Ia tidak akan menjejaskan kes ini dan jika mahu pertahankan kes mereka, mereka perlu datang ke mahkamah selaku pencelah. Bagaimanapun permohonan untuk menghalang perintah penjualan Equanimity sudah agak terlambat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili plaintif, Jeremy M. Joseph berkata, walaupun proses perundangan berhubung kapal itu masih belum selesai, pembeli kapal tersebut akan menerimanya tanpa sebarang ikatan atau kos.