Ramai dalam kalangan generasi muda masa kini tidak ketahui atau pernah merasai kemeriahan aktiviti sukan di sawah padi.

Tinjauan Bernama semasa perlawanan berlangsung mendapati rata-rata peserta kelihatan gembira bermain dalam suasana berbeza meskipun terpaksa bergelumang dengan selut di bawah pancaran terik matahari.

Pelajar Kolej Masa yang juga merupakan seorang daripada peserta, Mohammad Azim Zainuddin, 19, berkata pengalaman pertama kali bermain bola sepak dalam selut bendang merupakan kenangan paling berharga buat dirinya.

"Main bola dalam bendang yang berselut ini sangat mencabar kerana susah bergerak, malah memerlukan kekuatan kaki dan tangan," kata pelajar diploma tahun satu jurusan Teknologi Maklumat.

Pengunjung dari Shah Alam, Zarina Ahmad Zaki, 43, pula berkata acara tersebut mengingatkannya tentang nostalgia sukan kampung yang biasa dimainkan masyarakat kampung selepas musim menuai satu masa dahulu.

"Acara ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada anak muda khususnya kepada mereka yang tinggal di bandar," katanya yang datang ke MAHA 2016 bersama lima anggota keluarganya.

Sementara itu Pengarah program kejohanan, Aminuddin Mohamad berkata perlawanan yang bermula sejak 1 Dis dan berakhir petang tadi itu diadakan bertujuan untuk menarik minat golongan belia terutama pelajar universiti awam dan swasta mendekatkan diri dengan pertanian.

"Kami mahu masyarakat mengetahui lebih banyak mengenai sawah yang mungkin pada pandangan ramai hanya untuk menanam padi semata-mata," katanya.

Beliau berkata tujuh pasukan dari lima universiti mengambil bahagian iaitu Universiti Putra Malaysia, Kolej Masa, Universiti Antarabangsa UNITAR, Pusat Latihan Padi Mada (MRTC) dan Kolej Universiti Lincoln.

MAHA 2016 bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang berlangsung sejak 1 Dis di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) akan berakhir esok. - BERNAMA