Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana produk-produk yang diimport negara dari EU bukan merupakan makanan asas rakyat negara ini.

Sebaliknya, kata Tajuddin, negara hanya mengimport produk-produk tenusu seperti majerin dan keju yang hanya merupakan makanan sampingan rakyat.

‘‘Adakah kita bergantung bekalan makanan kepada mereka (EU)? Jawapannya tidak... kerana makanan asas kita adalah beras dan ia diimport dari Thailand, Vietnam serta beberapa negara lain.

‘‘Yang kita import adalah makanan yang bukan keperluan seperti keju dan produk tenusu di mana bukan semua rakyat memakannya. Jadi kita tidak perlu risau kalau kerajaan buat keputusan boikot produk mereka (EU),’’ katanya.

Tajuddin berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Parlimen Pasir Salak Ke-4 di Dewan Pekan Rabu, Chenderong Balai dekat sini.

Yang turut hadir, Pengerusi PITKM Pasir Salak, Rahimah Salleh.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mengkaji semula keputusan membeli barangan daripada EU selepas negara-negara berkenaan bertindak mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021.

Ahmad Zahid berkata, sekira­nya EU benar-benar melaksanakan pengharaman itu, ia akan memberi impak buruk kepada negara khususnya 650,000 pekebun kecil sawit tempatan.

Baru-baru ini, Parlimen Eropah meluluskan resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2021.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak meminta semua kementerian mengeluarkan senarai produk yang dimport dari EU bagi membolehkan kajian untuk memboikotnya dilakukan.