Saingan akhir MLM 2016 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini malam tadi menyaksikan kumpulan tersebut menewaskan tiga pencabar lain iaitu Joras, Puteh dan LOL.

Menurut Acey, pihak mereka tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana pentas akhir MLM 2016 dipenuhi dengan pesaing yang hebat dan berbakat.

"Mungkin ada pihak mengatakan kumpulan Bocey mempunyai laluan mudah untuk bergelar juara tetapi hakikatnya saingan adalah amat sengit daripada setiap kumpulan. Namun kami tetap ber­syukur dengan kemenangan ini yang terhasil daripada kerja keras selama 14 minggu serta sokongan yang diberikan peminat selama ini," katanya dalam sidang akhbar selepas program tersebut.

Sementara itu, Abam turut memberitahu mereka berhasrat untuk membuat kenduri kesyukuran bagi meraikan kemenangan mereka namun lokasi dan tarikhnya akan ditentukan dalam masa terdekat.

"Baki daripada wang kemenangan akan diagihkan sama rata antara ketiga-tiga ahli kumpulan di mana kami bercadang untuk me­nyimpan sebahagian besar duit tersebut sebagai pelaburan untuk masa hadapan," katanya.

Kumpulan Bocey muncul juara dengan kutipan markah sebanyak 76.91, menewaskan ketiga-tiga kumpulan lain iaitu Joras di tempat kedua, Puteh (ketiga) dan LOL (keempat) yang masing-masing mendapat markah 72.70, 71.78 dan 68.48.

Joras yang dianggotai oleh Shuk, Rahim dan Joey membawa pulang RM250,000 beserta trofi selaku naib juara.

Tempat ketiga menjadi milik kumpulan Puteh yang dianggotai Mamak dan Ali membawa pulang RM150,000 manakala kumpulan LOL dianggotai Tauke, Angah dan Ajak pula menduduki tempat keempat dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000.

Pertandingan realiti komedi tersebut diadili oleh barisan empat juri tetap yang terdiri daripada Zia­na Zain, Shaheizy Sam, Najip Ali dan Bunga Citra Lestari.

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan oleh veteran komedi tanah air, Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay sambil diiringi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.