Bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf berkata, kerugian yang dicatatkan itu bermula 1988 sehingga 1994 seperti yang dinyatakan dalam laporan urus niaga mata wang asing bertajuk Accoun­ting Treatment of Losses Arising from Active Reserve Management yang disediakannya.

Menurut saksi pertama prosiding itu, jumlah kerugian yang dicatatkan pada 1988 dan 1989 berjumlah RM3.031 bilion manakala jumlah keseluruhan bagi tahun 1991 hingga 1994 berjumlah RM31.516 bilion.

Ujarnya, beliau diarahkan oleh bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz untuk mengumpul maklumat dan menyediakan laporan tersebut pada 2007 dan siap sepenuhnya pada 18 April 2007 sebelum diserahkan kepada Zeti pada April 2010.

Pesara tersebut berkata, beliau tidak mengingati kaedah atau dasar perakaunan yang diterima pakai oleh BNM berhubung urus niaga mata wang asing serta tidak pasti sama ada ketika itu terdapat sebarang polisi oleh bank pusat itu mengenai aktiviti berkenaan.

“Saya tidak mengetahui apakah tindakan susulan yang diambil berhubung kerugian tersebut,’’ ujarnya ketika membaca pernya­taan saksi pada pendengaran hari pertama prosiding tersebut yang bersidang di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman hari ini.

Pernyataan saksi itu dikemukakan oleh pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Suruhanjaya Siasatan Diraja itu turut mendengar kete­rangan saksi kedua, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin yang pernah berkhidmat di Jabatan Audit Dalaman BNM.

Dalam per­nya­taan saksi yang dibacakan di hadapan panel itu, katanya, beliau menerima arahan pihak atasan pada April 1993 untuk menyediakan laporan bagi mencari punca kerugian yang dialami bank pusat itu sepanjang tempoh tersebut.

Menjawab soalan peguam pemerhati, Datuk Tan Hock Chuan bagi pihak BNM, saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui bahawa BNM telah memperoleh nasihat perundangan daripada dua pihak sebelum memulakan urus niaga mata wang asing.

Hock Chuan memaklumkan, bank pusat itu memperoleh dua nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman di ibu negara dan Queen Counsel (QC) dari United Kingdom sekitar Mac 1990.

Menurutnya, Seksyen 31(a) Akta Bank Negara Malaysia 1958 tidak membenarkan bank pusat menjalankan urus niaga mata wang asing.

Namun katanya, jika tujuan urus niaga itu adalah untuk menguatkan dan melindungi Ringgit Malaysia daripada jatuh, urus niaga mata wang asing yang dijalankan ketika itu tidak melanggar Seksyen 31(a).