LIN SEE YAN

Bekas Timbalan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Lin See Yan berkata, polisi BNM membenarkan kedudukan daga­ngan terbuka sekiranya perlu namun perlu ditutup se­gera pada waktu dianggap bersesuaian.

Ujar beliau, aktiviti perdagangan yang dijalankan BNM pada lewat tahun 1980-an dan 1990-an adalah keterlaluan sehingga mengakibatkan kerugian besar serta mendedahkan bank pusat itu kepada kedudukan dagangan terbuka yang membawa kerugian jangka masa hadapan.

Beliau memberitahu, aktiviti perdagangan mata wang asing itu dijalankan di bawah bekas Penasihat dan Pengurus Jabatan Bank BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan dilaporkan secara terus kepada Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein.

Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai kerugian itu pada awal 1990-an selepas dimak­-
lumkan oleh bekas Pemban-
tu Khas Gabe­nor BNM, Lee Siew Kuan selain rakannya yang merupakan pegawai kanan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya telah memberitahu Gabenor BNM bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak sepatutnya dibenarkan lagi menjalankan dagangan dan Datuk Abdul Murad (bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid) perlu dibenarkan mengambil alih dan menutup semua kedudukan dagangan terbuka.

“Saya juga meminta BNM untuk menghentikan semua komitmen masa hadapan dan Tan Sri Jaffar bersetuju dengan saya. Kata Tan Sri Jaffar sebelum saya beredar ‘Saya membawa bank dalam masalah ini dan saya akan memperbetulkannya’,” kata See Yan yang bertanggungjawab terhadap polisi BNM.

Beliau berkata demikian dalam ketera­ngan kepada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Jelasnya, beliau kemudian telah dipanggil oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat tidak gembira dengan kerugian yang berlaku dan juga bersetuju mana-mana kedudukan dagangan terbuka yang masih ada perlu ditutup segera.

Menurut See Yan, beliau berpendapat kerugian berterusan dalam tempoh berkenaan adalah tidak disedari Jaffar kerana dipercayai tidak dimaklumkan oleh pihak yang mengendalikan aktivi­-
ti itu mengenai kerugian berlaku sebaliknya hanya keuntungan.

Ujarnya, Jaffar juga pernah membuat ucapan di India pada tahun 1988 yang memberitahu bahawa 20 peratus pendapatan luar negara BNM pada tahun 1987 adalah daripada perdagangan aktif dan 40 peratus pada 1988.