Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan memerlukan sokongan para guru kerana kumpulan penjawat awam itu antara kelompok yang memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat.

Sehubungan itu katanya, BN akan terus berusaha mendampingi dan memikat hati guru dan memastikan mereka diberi penjelasan dan kefahaman mengenai sebarang isu dibangkitkan golongan anti kerajaan.

“Seseorang guru hari ini mungkin juga seorang imam, atau seorang KRT (Kawasan Rukun Tetangga). Guru ada peranan penting dalam masyarakat. Mereka menjadi tonggak yang perlu didekati dan didampingi.

“Oleh sebab itu kita iktiraf dan sering turun berjumpa guru setiap masa kerana kita mahu mereka memahami isu semasa, bukan percaya apa sahaja fitnah tersebar di media sosial.

“Kita juga harap mereka mainkan peranan aktif memberi penjelasan kepada rakyat dan menangkit fitnah terhadap kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Warga Pendidik Kelantan di Tunjong, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman. - UTUSAN ONLINE