Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri berkata, gadingan calon lama dan baharu daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan ketokohan mengukuhkan lagi keyakinan ke arah kemenangan serta membentuk kerajaan yang lebih mantap kelak.

Mereka yang bertanding kali ini turut terdiri daripada dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh bagi kerusi Parlimen Besut dan Datuk Seri Ahmad Said bagi kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kijal, gandingan yang dianggap berupaya memperkukuh­kan perpaduan sekali gus melemahkan lawan.

Yang turut bertanding, bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (Parlimen Kuala Terengganu) dan pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Parlimen Kuala Nerus) bersama dua calon wanita.

Pencalonan Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin bagi kerusi DUN Bukit Payong manakala Bendahari Wanita UMNO negeri, Datuk Zainun Abu Bakar (DUN Sura) dianggap oleh Ahmad Razif sebagai tepat dan yakin mereka boleh mencipta sejarah kemenangan.

“Senarai ini adalah muktamad dan kita tunggulah sehingga hari penamaan calon nanti (28 Mei) dan berdasarkan ini kita yakin akan dapat balik (kerusi dikuasai pembangkang).

“Seperti dijanji, kita akan tampilkan calon wanita dan kita yakin mereka akan cipta sejarah serta berdasarkan kajian yang dilakukan, kita percaya kesemua calon yang kita tampilkan kali ini adalah yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar selepas maj­lis pengumuman.

Beliau juga percaya masalah dalaman yang melanda BN dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip solidariti selain semangat kerja berpasukan untuk saling membantu dalam memastikan pihak lawan ditum­paskan.

Dalam soal pemilihan Ahmad Razif menjelaskan, BN menggunakan konsep ‘inklusif’ berdasarkan kemahuan akar umbi parti sendiri namun mengakui mungkin akan timbul rasa tidak puas hati terhadap calon yang ditampilkan.

“Tetapi biasalah, tidak semua orang akan berpuas hati, terutamanya bagi mereka yang berhajat untuk menjadi calon. Tetapi, yakin dan percayalah, bahawa calon-calon ini adalah yang terbaik, berasaskan kajian yang telah dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri sendiri dan sumber-sumber yang lain termasuk di Terengganu,” ujarnya.

Selain beberapa muka baharu, secara keseluruhan BN Terengganu menampilkan semula 19 penyandang termasuk 17 penyandang kerusi DUN di samping dua penyandang kerusi Parlimen.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari digugurkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan digantikan dengan bekas anggota Exco, Datuk Rosol Wahid yang pernah menyandang kerusi DUN Ajil selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013.

Penyandang kerusi Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut digugurkan dan calon bagi kerusi itu beralih kepada penyandang DUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee manakala bekas ADUN Permaisuri, Datuk Halim Jusoh kembali dicalonkan bagi kerusi yang sama.

Selain Rosol, seorang lagi bekas anggota Exco yang tidak dicalonkan dalam PRU-13, Datuk Mohamad Awang Tera ditampilkan semula bagi kerusi DUN Cukai yang dikuasai Pas.