M. SARAVANAN
M. SARAVANAN

Bekas Setiausaha Agung MIC, A.K. Ramalingam membuat gesaan itu kerana bimbang tindakan Saravanan yang juga merupakan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan tersebut bakal memberi impak kepada kredibiliti BN.

Katanya, Saravanan berlagak seperti seorang samseng apabila datang menyerbu Tamil Malar bersama-sama pengikutnya sehingga menyebabkan beberapa kakitangan syarikat akhbar itu termasuklah Pemilik dan Pengurus Besarnya cedera.

“Perkara itu disebabkan oleh tindakan Tamil Malar mendedahkan perbuatan Saravanan ‘mencuri’ daripada hasil kutipan bangunan MIC negeri.

“Insiden seperti ini menjejaskan kredibiliti BN, apabila seorang wartawan perempuan turut diserang tanpa belas kasihan oleh ahli politik berkenaan dengan pengikut-pengikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan insiden pergaduhan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi.

Mengulas lanjut, Ramalingam berharap Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) juga membawa perkara ini kepada pihak atasan dan menggesa supaya tindakan segera diambil memandangkan kejadian tersebut merupakan serangan fizikal kepada pengamal media.

“BN juga sewajarnya mengambil tindakan terhadap pemimpin seperti ini yang telah memalukan parti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, memetik laporan portal Berita Daily, Saravanan menafikan beliau membawa penyokongnya menyerang pejabat Tamil Malar.

Sebaliknya, Saravanan memberitahu beliau bergegas ke pejabat media itu selepas mengetahui berlakunya insiden membabitkan ahli-ahli MIC yang tidak puas hati dengan laporan akhbar berkenaan kerana menerbitkan artikel tidak benar mengenai MIC Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohd. Sukri Kaman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua pihak dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE