ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tarikh untuk sembah menghadap bagi mempersembahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen itu bergantung kepada kesesuaian masa yang akan diperkenankan baginda.

Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya Tuanku Syed Sirajuddin menolak nama-nama dikemukakan itu sebaliknya kekal dengan pendirian baginda melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

“Kita berharap dapat sembah menghadap Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) pada minggu depan dan mempersembahkan 11 nama (calon Menteri Besar) kepada baginda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Berdasarkan perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. - UTUSAN ONLINE