Berbeza dengan pendekatan pembangkang yang sekadar menabur janji kosong, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak, BN mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab untuk mendengar rintihan rakyat dan kemudian memastikan segala janji akan ditunaikan sekali pun membabitkan negeri-negeri ditadbir oleh parti lawan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, beliau sendiri hari ini turun padang bagi meninjau bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa yang terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor, Selangor yang siap dibina sepenuhnya tahun lalu hasil sumba­ngan kerajaan Pusat sebanyak RM3 juta.

“Menang sahaja calon BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April 2010, pada 28 April 2010 saya terus umum sumbangan RM3 juta kepada SJKC Rasa.

“Janji itu telah ditunaikan. Kerajaan BN sentiasa menepati janji sekali gus pada masa sama menghormati kewujudan SJKC dalam sistem pendidikan negara,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor; Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan.

Semasa lawatan itu juga, Najib turut meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk membina sistem lampu isyarat dan pelebaran jalan di persimpangan masuk ke Pekan Rasa susulan adu­an penduduk di kawasan ber­kenaan ekoran kerapnya berlaku kemalangan di laluan tersebut.

Katanya, DAP yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selain merupakan parti kerajaan negeri Selangor sekadar membuat janji tetapi tidak berjaya menyelesaikan perkara tersebut walaupun dibangkitkan penduduk setempat.

“DAP sebelum ini janji hendak menyelesaikan masalah itu tetapi sudah empat tahun tidak buat lagi.

“Kalau termakan dengan janji kosong pembangkang, inilah yang akan berlaku. Oleh itu kita mesti letakkan kepercayaan kepada parti yang dapat membela masa hadapan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau akan menyerahkan proses untuk melaksanakan pemasangan lampu isyarat dan pe­lebaran jalan tersebut kepada Unit Penyela­rasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan aduan penduduk itu secepat mungkin.