Perdana Menteri berkata, ini selari dengan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Katanya, jika diselami dan dilihat secara menyeluruh, banyak yang telah dilakukan kerajaan dalam memastikan Islam terus berkembang dan kebajikan umat Islam di negara ini terus terpelihara.

"Sebagai contoh, dalam Bajet 2017, saya telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM50 juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar.

"Buat julung kalinya juga, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara. Langkah ini penting dalam menentukan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur dan berkembang," kata Najib dalam catatan terbaharu di blog rasminya bertajuk "Islam Di Bawah Kerajaan Barisan Nasional".

Najib berkata, kerajaan Persekutuan pimpinan BN sedar pendidikan al-Quran dan Tahfiz Al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam, lebih-lebih lagi dalam memberi penyediaan kepada golongan cendekiawan Islam untuk menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam.

"Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia.

"(Dan) ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia yang holistik, bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana yang dituntut oleh Islam," kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata, kebajikan imam, bilal dan siak turut terpelihara di mana 15,000 imam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara telah menerima kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan dan sebanyak 16,000 siak dan bilal menerima bantuan RM500 secara sekali sahaja manakala elaun guru kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) melibatkan 33,000 guru telah dinaikkan kepada RM900 daripada RM800 sebulan.

"Insya-Allah, kebajikan mereka yang berkecimpung dalam bidang agama ini akan terus menjadi agenda utama kerajaan dalam memperkasakan agama Islam," katanya. - BERNAMA