Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, ini berlaku akibat kegagalan wakil rakyat mereka menunaikan janji seperti di DUN Kajang walaupun diwakili Pre­siden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Disebabkan itulah, kami terpaksa turun padang ke banyak kawasan di Selangor termasuk DUN Kajang yang diwakili oleh Presiden PKR sendiri (Wan Azizah) bagi membantu memberi kemudahan kepada rakyat

“Kita juga mempunyai prinsip, jika mahu bantu jangan sesekali menyusahkan rakyat. Ini berbeza dengan pembangkang kerana rakyat pula disuruh keluarkan duit sebelum menerima bantuan melalui Skim Ceria kerajaan negeri Selangor,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Taman Segar Perdana, Hulu Langat dekat sini hari ini.

Beliau sebelum itu meninjau permasalahan kawasan tersebut dan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 juta untuk menggantikan dua buah lif, membaiki dua buah lif, menaik taraf bangunan dan kemudahan rumah pangsa tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi Pangsapuri Taman Kota Cheras Fasa 1 yang berada di bawah DUN Kajang .

Noh berkata, semasa Pilihan Raya Kecil DUN Kajang tiga tahun lalu, banyak rungutan daripada penduduk kawasan itu dan kerajaan PKR Selangor berjanji akan membantu tetapi sampai sekarang janji tidak ditunaikan.

Menurutnya, masalah tersebut bukan sahaja berlaku di DUN Kajang malah berlaku di kawasan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak.

Tambahnya, kerajaan negeri sebenarnya boleh menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) untuk menyelenggara jalan raya dan Selangor telah menerima hampir RM600 juta.

“Tidak mungkin untuk bantu membaiki dan menurap jalan dengan kos tidak sampai RM200,000 mereka gagal laksanakan, mana perginya RM600 juta itu,” katanya.