Bagaimanapun, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia ( BNPB) meminta penduduk di kawasan berkenaan tetap berwaspada, dikhuatiri berlaku lagi gempa susulan.

"Masyarakat di sekitar pesisir Kabupaten Morowali yang dinyatakan berpotensi tsunami dengan tingkat waspada sebelumnya oleh BMKG diminta tetap meningkatkan kewaspadaannya," kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, dalam satu kenyataan di sini.

Gempa pada jam 6.40 petang waktu Indonesia Barat itu mengegarkan kepulauan Sulawesi, berpusat di 85km di barat daya Sulawesi Tenggara.

BMKG kemudiannya menarik kembali amaran tsunami, kira-kira selepas sejam gempa itu berlaku.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, berkata pihak mereka sedang memantau perkembangan gempa itu dan meminta rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu agar menghubungi kedutaan di talian +6281380813036.

Setakat ini belum terdapat laporan lengkap kesan gempa yang berlaku di dasar laut itu terhadap kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa. - BERNAMA