Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan dan keselamatan, adalah penting bagi anggota agensi itu tampil sihat serta cergas supaya sentiasa bersiap siaga jika berdepan dengan pelbagai situasi di luar jangka.

Malah jelas beliau, dasar 3K iaitu Kesegakan, Kecergasan dan Kesihatan menjadi syarat untuk kenaikan pangkat setiap anggota.

“Saya berharap semua pegawai dan anggota memperoleh BMI yang ideal bagi memberi peluang kenaikan pangkat kerana memerlukan fizikal yang lebih baik.

“Saya juga yakin mereka akan berusaha untuk mencapai BMI dengan mengikuti sebarang aktiviti termasuk kesukanan yang kami susun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup program 3K Maritim Malaysia 2017 yang disertai kira-kira 350 orang di Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, jika dilihat dari aspek lain, program 3K juga mampu mengurangkan kos perubatan anggota agensi itu yang boleh digunakan untuk komitmen lain.

“Pelaksanaan program ini di­lihat amat bermanfaat dan pe­nerimaan semua peserta adalah positif apabila jalinan silaturahim semakin erat, sesuai dengan struktur organisasi yang memerlukan setiap anggota bekerjasama,” katanya.