Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, BKN 2017 yang bakal berlangsung di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi pada hari Rabu hingga Ahad ini merupakan satu usaha kerajaan bagi menyatakan komitmen bahawa tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Rohani menambah, bertemakan ‘Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat’, program itu berperanan menge­ratkan hubungan kumpulan sasar dengan kerjasama strategik melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Jabatan Kemajuan Masya­ra­kat (JKM) diberi peranan menganjurkan BKN 2017 di bawah satu bumbung berbanding Hari Warga Emas, Hari Kanak-Kanak, Hari OKU dan Hari Sukarelawan yang sebelum ini diraikan secara ber­asingan.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga memastikan impak untuk golongan terbabit dapat dihasilkan pada tahap le­bih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, kemuncak sambutan itu adalah perasmian BKN 2017 yang bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang lima hari acara itu berlangsung antaranya Seminar Sukarelawan 2017, Hari Inovasi JKM dan persembahan kanak-kanak serta OKU.

“Malah kita turut membuka kaunter pendaftaran bantuan JKM dan OKU termasuk kaunter pertanyaan untuk mana-mana pihak ingin mengetahui lebih lanjut perkhidmatan yang ditawarkan di bawah JKM.

“Ruang jualan daripada golo­ngan sasar turut dibuka dan kita juga menganjurkan ceramah per­kongsian kejayaan daripada ibu tunggal dan OKU yang berjaya dalam keusahawanan,” katanya.

Menurut Rohani, orang ramai tanpa mengira latar belakang dijemput memeriahkan BKN 2017 yang dilihat dapat mendedahkan kepada mereka bahawa golongan sasar mempunyai tanggungjawab bersama memberi sumbangan kepada tanah air.

Katanya, BKN 2017 telah pun bermula sejak majlis prapelancaran pada 10 September lalu de­ngan pelbagai pengisian berjaya dilaksanakan di seluruh negara termasuk program turun padang dan ziarah kasih.