DARI KIRI: MOHD.HAFIZ MOHD.RAMLI, SULAIMAN ISHAK, MOHD. ABIDI MOHAMED NOR
DARI KIRI: MOHD.HAFIZ MOHD.RAMLI, SULAIMAN ISHAK, MOHD. ABIDI MOHAMED NOR

Bagi guru-guru terbabit, apa yang lebih penting adalah mencurahkan ilmu kepada pelajar lebih-lebih lagi kepada anak-anak Orang Asli yang sudah pasti cabarannya lebih besar berbanding anak-anak di bandar.

Guru Sains SK Blau, Gua Musang, Kelantan, Mohd. Hafiz Mohd. Ramli berkata, kehadiran binatang buas seperti ular dan gajah sudah menjadi kebiasaan di sekolahnya.

Menurutnya, sudah lapan tahun beliau berkhidmat di sekolah itu bermacam-macam dugaan dihadapi, namun bak kata orang 'alah bisa tegal biasa', beliau semakin selesa di sana.

"Selain binatang buas, risiko tanah runtuh juga terpaksa dihadapi ketika banjir kilat. Minggu lepas berlaku banjir kilat dan sebahagian pelajar terpaksa bercuti sehari kerana bilik darjah dipenuhi lumpur.

"Malah, sekolah kami yang terletak jauh di pedalaman serta terletak di belakang sungai mendedahkan pelajar dan guru untuk mendapat penyakit bawaan nyamuk," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihak Kementerian Kesihatan akan mengadakan lawatan dua tahun sekali untuk memberi suntikan imunisasi, kelambu dan membuat semburan asap.

Sementara itu, seorang Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, Gua Musang, Kelantan, Sulaiman Ishak, berkata, selama tiga tahun berkhidmat di sekolah tersebut, beliau tidak pernah menyesal memilih profesion sebagai seorang guru, malah segala cabaran yang ditempuh dianggap sebagai 'hadiah'.

Menurut Sulaiman yang berasal dari Johor, ketika menjalani latihan guru, beliau turut ditempatkan di sekolah pedalaman iaitu SK Pasir Linggi, Gua Musang.

"Walaupun ketika itu agak terkejut dengan persekitaran baharu, namun saya anggap ini sebagai satu pengalaman baru buat saya sebagai seorang guru.

"Mengajar anak-anak Orang Asli di sekolah tersebut membuka mata saya bahawa anak-anak ini perlu diberi didikan sahsiah agar mereka mempunyai perisai yang teguh untuk mendepani pelbagai situasi dan cabaran selepas mereka meninggalkan alam persekolahan," katanya.

Dalam pada itu, seorang Guru Sains SK Hendrop Gua Musang, Mohd. Abidi Mohamed Nor berkata, walaupun sekolahnya tidak dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air bersih, namun beliau tetap menjalankan tugas mendidik dengan sabar dan ikhlas.

"Saya berharap pihak pentadbir sekolah dan Kementerian Pendidikan memberi fokus yang lebih kepada sekolah-sekolah di pedalaman agar pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih baik sejajar dengan pembelajaran abad ke-21," katanya. - UTUSAN ONLINE