Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Terengganu muncul ne­geri pertama merintis program itu.

Beliau memberitahu, kewujudan MRSM Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Ketengah yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini akan dijadikan model baharu sekolah berkenaan sebelum diperluaskan ke negeri lain kelak.

“Berdasarkan usaha sama ini kerajaan negeri akan menyediakan tapak, bangunan serta prasarana lain manakala dari segi tenaga pe­ngajar dan pengurusan dikendalikan oleh kementerian.

“Hari ini kita ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan ne­geri Terengganu di bawah kepe­mimpinan Datuk Seri Ahmad Razif sebagai negeri pertama mewujudkan MRSM Imtiaz YT Ketengah di bawah NBOS. Kita akan jadikan ini sebagai model baharu untuk diguna pakai di negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian MRSM berkenaan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dekàt sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk. Mohd. Ariff Abdul Rahman; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad; tiga Exco kerajaan negeri iaitu Roslee Daud, Ghazali Taib dan A. Latiff Awang; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail dan Pengarah Yayasan YT, Mohamad Sulong.

Ismail Sabri berkata, pembinaan lebih banyak MRSM baharu juga dapat menampung ribuan pelajar yang memohon untuk meneruskan pembelajaran ke sekolah tersebut pada masa akan datang.

Terdahulu ketika berucap, beliau menarik perhatian seramai 52,385 pelajar memohon masuk ke tingkatan satu di MRSM seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya 7,600 pelajar berjaya mendapat tempat.

Bagi kemasukan tingkatan empat pula katanya, seramai 21,084 pelajar telah memohon dan daripada jumlah itu cuma 2,400 pelajar diterima.

“Jadi dengan adanya usaha sama NBOS ini kita dapat jadikannya model baharu memandangkan setiap sebuah MRSM menelan belanja besar iaitu kira-kira RM50 juta dan mengikut Bajet 2016, untuk membina empat buah MRSM melibatkan kos sekurang-kurangnya antara RM250 juta hingga RM300 juta,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, dengan adanya MRSM Imtiaz YT itu menjadikan pada masa ini terdapat lima buah MRSM di Terengganu dan 51 buah MRSM di seluruh negara.