Timbalan Perdana Menteri ber­kata, prosedur permohonan untuk membaiki berek-berek anggota keselamatan tersebut perlu melalui banyak proses dan meskipun telah lama dibuat tetapi masih belum ada tindakan, justeru perlu disegerakan demi kebajikan setiap anggota.

“Kalau ikut proses perbelanjaan pembangunan, ia terpaksa melalui ibu pejabat polis daerah (IPD), ibu pejabat polis kontinjen (IPK), Bukit Aman, Kementerian Dalam Negeri dan seterusnya Kementerian Kewangan.

“Soal ini walaupun saya telah lama ambil peduli tetapi saya te­ngok tindakan segera perlu untuk kebajikan mereka. Permohonan ini ada dibuat di lebih 20 IPD termasuk Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom),” katanya dalam sidang akhbar selepas mengha­diri taklimat bersama pegawai ter­tinggi IPK Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain.

Mengulas tentang kewujudan sindiket menjual kad pengenalan palsu di negeri ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen sentiasa berwaspada serta kerap menjalankan operasi pencegahan aktiviti itu.

Katanya, setakat ini, Sabah menjadi tumpuan aktiviti sindiket-sindiket berkenaan kerana loka­sinya yang dekat dengan negara jiran yang menjadi sumber tenaga buruh untuk negara ini.

“Sindiket ini wujud kerana kemasukan pekerja asing dan tenaga buruh dari negara jiran yang cukup dekat tetapi kita tidak akan melepaskan orang yang terlibat dengan sindiket ini malah kami pastikan tiada hari tanpa operasi.

“Sebelum ini JPN dengan kerjasama Jabatan Imigresen juga telah melakukan siasatan dan menangkap ahli-ahli sindiket ini, malah di pintu-pintu keluar sentiasa ada kawalan ketat termasuk membuat imbasan terhadap kad-kad pengenalan untuk mengesan jika ada yang palsu,” tegas beliau.