Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pembinaan 10 pusat baharu itu bagaimanapun akan diputuskan pada Januari depan selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kini hanya terdapat tiga pusat berkenaan di seluruh negara iaitu di Selayang (Kuala Lumpur), Kuala Kedah (Kedah) dan Kuala Besut (Terengganu).

“Pembinaan 10 pusat pengumpulan dan pengedaran masih di peringkat cadangan dan ia memerlukan perbincangan lanjut kerana melibatkan banyak pihak seperti Nekmat, FAMA dan nelayan, LKIM mahu pembinaan pusat ini mendapat persetujuan semua pihak agar semuanya berjalan lancar.

“Kos pembinaan pusat berkenaan akan dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM50 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018,” katanya selepas merasmikan Jualan Ikan Segar dan Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan dari LKIM di Dataran Seri Perantau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Daerah Klang, Shahrizal Md. Sari dan Pengarah LKIM Selangor, Zulkarnain Asha'ari.

Irmohizam berkata, mengikut perancangan awal, lima daripada pusat berkenaan akan dibina di Selangor dan lima lagi dibina di negeri lain.

“Semua lokasi ini akan kita tentukan selepas perbincangan pada Januari depan,” katanya.

Katanya, dengan penambahan pusat berkenaan, stok ikan segar dapat ditingkatkan melalui teknologi Individual Quick Freezing (IQF) iaitu satu kaedah pembekuan ikan segar.

“Mengikut statistik Jabatan Perikanan, musim ikan banyak adalah dari April hingga September setiap tahun dan bekalan berlebihan berkenaan akan simpan melalui teknologi IQF.

“Apabila berlaku kekurangan ikan di pasaran, stok ikan ini dilambakkan bagi mengelakkan harga ikan melambung tinggi, ikan sejuk beku ini boleh bertahan sehingga setahun,” katanya. – BERNAMA