Perkara itu, jelas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan, adalah bagi mengelakkan isu lambakan unit kediaman dan komersial berstatus lot bumiputera yang gagal dijual dalam tempoh 10 tahun di Kedah daripada berulang.

Lebih membimbangkan, kata Shahril Suffian, antara langkah yang sedang dipertimbangkan kerajaan negeri Kedah untuk mengatasi permasalahan itu ialah dengan menggugurkan status lot bumiputera pada unit kediaman dan komersial tersebut.

Beliau khuatir langkah itu hanya akan membuka ruang yang lebih besar kepada pemaju untuk terus membina unit tidak mampu dibeli oleh bumiputera sehingga akhirnya memaksa kerajaan negeri menggugurkan status lot berkenaan bagi memastikannya terjual.

“Cukup-cukuplah lambakan rumah tidak mampu milik yang gagal dijual selama ini. Jangan gunakan isu lot bumiputera sebagai alasan kegagalan komersial menyesuaikan pembangunan hartanah dengan keperluan tempatan.

“Dan jangan pula gunakan kelemahan komersial pihak pemaju sebagai alasan menggadaikan skim membantu bumiputera ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah pada Khamis lalu mengumumkan bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mempertimbang cadangan menggugurkan status lot bumiputera bagi lebih 1,000 unit kediaman dan komersial yang gagal dijual dalam tempoh sejak 10 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE