Mazlan Lazim

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, pada hari kejadian, kanak-kanak itu bersama 18 rakan lain telah keluar mandi di Sungai Perias berhampiran sekolah sebelum tindakan itu diketahui oleh pengawal keselamatan yang kemudian memaklumkan kepada pihak sekolah.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mandi di sungai terbabit pada 22 Ogos iaitu sehari sebelum mereka bertindak melarikan diri.

Katanya, pihak sekolah atau war­den asrama telah memanggil tiga daripada 25 murid terbabit dan memaklumkan akan mengenakan hukuman ke atas mereka pada keesokan harinya.

“Kira-kira pukul 9 malam (22 Ogos), 23 daripada 25 murid berkenaan telah berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi,” katanya ketika memberi taklimat mengenai kejadian itu pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada keluarga Orang Asli di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Memberi penjelasan lanjut, Mazlan memberitahu, pada pukul 7 sehingga 9 pagi pada 23 Ogos, pihak sekolah telah membuat pemeriksaan dan mendapati seramai 23 murid yang tinggal di asrama telah melarikan diri.

Katanya, serentak dengan itu, pihak sekolah bersama dua orang penduduk telah mencari murid-murid terbabit di kawasan sekitar.

“Pihak sekolah yang terdiri daripada warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama dan pengawal keselamatan telah bertemu dengan 16 murid-murid ini di satu lokasi pada pukul 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama.

“Pada masa itu tidak ditemukan kelibat tujuh murid terbabit dan difahamkan mereka terus bergerak masuk ke dalam hutan.

“Pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung kemudian melakukan gerakan awal mencari mereka pada pukul 9 malam sehingga pukul 12.30 tengah hari keesokannya,” katanya.

Tambahnya, rancangan mengenai tindakan murid berkenaan untuk melarikan diri dari asrama sekolah tersebut diketahui selepas menjalankan temu bual terhadap 16 kanak-kanak terbabit.

“Pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan sekolah.

“Pihak sekolah juga ada bertemu ibu dan bapa tujuh murid terbabit di Kampung Penad dan Gawin.

“Pihak sekolah kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos selepas usaha mencari kanak-kanak itu buntu. Polis kemudian menggerakkan anggotanya ke Pos Tohoi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan,” katanya.

Katanya, bermula pada 25 Ogos lalu, operasi mencari dan menyelamat secara besar-besarkan digerakkan sehingga pasukan itu menemukan mayat pertama pada 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, katanya, ke­semua lima murid yang dilaporkan meninggal dunia adalah disebabkan lemas dan kebuluran.