Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini, bilangan penguat kuasa syariah di negeri ini cuma kira-kira 100 orang, berbanding jumlah penduduk mencecah 1.7 juta orang, dengan majoritinya muslim.

"Dulu kebanyakan sukarelawan terdiri daripada imam sebagai orang yang dihormati dalam masyarakat tapi, kadang-kadang atas faktor umur, kita lihat ada yang tidak lagi sesuai (dengan bentuk tugasan). 

"Cuma kita bercadang menambah sukarelawan berdasarkan setiap masjid kita akan lantik seramai dua lelaki dan dua perempuan buat permulaan ini," ujar beliau kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Menurut beliau,  langkah untuk turut melantik sukarelawan kalangan perempuan agar  boleh berperanan dalam beberapa keperluan berkait dengan aspek perundangan tertentu.

Satiful Bahri menjelaskan, sukarelawan yang terpilih akan diberikan kursus supaya jelas bidang kuasa dan had yang boleh mereka lakukan selain mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada di samping memastikan tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa.

“Kita akan sediakan uniform dan bekalkan latihan serta terangkan bidang kuasa mereka. Mereka akan diletakkan di bawah pelaksanaan penguatkuasaan syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Kita jangkakan pengambilan sukarelawan ini akan dimulakan pada awal tahun depan dan dibuat secara berperingkat. Jumlah sebenar belum lagi kita tentukan, tetapi bergantung pada masjid kariah di tempat masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu juga beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) akan dikemaskinikan supaya dapat menambah keberkesanan pelaksanaan syariah. - UTUSAN ONLINE