Sikap itu yang membuatkan banyak tanah milik individu ‘lesap’ yang akhirnya membuatkan pemilik asalnya hanya sekadar `berputih mata’.

Menurut seorang mangsa, Talib Ahmad, 44, tanah pusaka milik arwah datuknya tidak sempat ditukar nama kepada bapa dan adik beradik bapanya yang lain sebelum meninggal dunia.

“Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri hingga terlupa mengenai hal tanah tersebut sehinggalah bapa saya mengusulkan perkara itu ke pejabat tanah untuk urusan berkaitan.

“Agak terkejut setelah hampir 20 tahun, tanah tersebut bukan lagi miliknya tetapi telah bertukar milik sebanyak dua kali kepada pemilik baharu yang menjualnya kepada individu lain,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Akibat perkara itu, beberapa aduan dilakukan kepada pejabat tanah namun usaha untuk mendapatkan kembali hak tersebut menemui jalan buntu kerana dimaklumkan penjual pertama mempunyai hak menguruskan tanah itu oleh datuknya.

Talib berkata, prosedur dalam pemilikan hartanah sukar difahami jika tidak melibatkan diri secara langsung, memandangkan terdapat ruang-ruang mudah untuk dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Menurutnya, kes yang berlaku pada tanah tersebut adalah disebabkan datuknya ada menandatangani satu surat pemberian hak pengurusan tanah kepada seorang individu bagi program penanaman sawit.

Tambahnya, tanpa disedari tanah tersebut bertukar hak kepada pemilik lain dan kemudiannya dijual kepada pemilik baharu yang tidak tahu mengenai kisah sebelum itu.

“Kini tanah tersebut bukan lagi milik kami dan perkara itu banyak menyedarkan keluarga dan mengharapkan ia tidak berlaku pada tanah-tanah lain milik keluarga,” jelasnya.