Dari sudut perbincangan sejarah pula, cadangan Pindaan Akta 355 bertujuan me­ningkatkan kuasa Mahkamah Syariah bukanlah perkara a­sing.  Pindaan 1984 ialah daripada hukuman penjara tidak me­lebihi tempoh enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000 kepada hukuman seperti hari ini iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

 Tahun lalu, pensyarah di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Law Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee melontarkan dalam satu wacana bertajuk RUU Akta 355:
“Pindaan Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima lorong (lima lorong yang memperkasakan lima maqasid syariah).

“Tambahan lagi peruntukan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tidak munasabah. Contohnya, jika dilihat dari gejala akidah yang berleluasa di Malaysia seperti isu beberapa individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi, isu Ayah Pin dan pembawa ajaran sesat, mereka tidak akan pernah serik. Ini jika hukuman ini dianggap ‘mampu’ ditanggung dan tiada nilai pendidikan atau hukuman.”

  ‘‘Akta 355 bukanlah suatu akta yang diluluskan secara semberono sebaliknya mengikut proses demokrasi. Bacaan demi bacaan serta tahap demi tahap, dibincang dalam Parlimen dan akhirnya diluluskan.”

Ia suatu undang-undang yang terhormat hasil keputusan rakyat bersama dan dicadangkan penambahbaikan melalui saluran  sama.

 RUU Pindaan Akta 355 sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan hanya melibatkan orang Islam.  Ia bukan ‘pintu belakang’ melaksanakan hudud.

 Maka penawar bagi pe­nyakit kejahilan ini ialah dengan merujuk, bertanya dan berbincang dengan ahli bidang ini. Dan juga dengan pihak yang membentangkan cadangan pindaan Akta 355 ini untuk penjelasan  sebenarnya.

Benarlah kata mufakkir Islam, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan kata pujangga:

 “Musuh utama kita adalah kejahilan kita sendiri.”