Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, orang ramai boleh membida nombor khas yang dilancarkan sempena Hari Kebangsaan itu sehingga 15 Ogos dan keputusan akan diketahui pada 29 Ogos.

Ujarnya, bagi nombor kategori bernilai utama iaitu 1 hingga 10 dibuka dengan harga bidaan minimum RM10,000, nombor menarik (RM2,000) manakala nombor popular serta semasa, masing-masing bermula dari RM300.

“Orang ramai boleh menghantar borang bidaan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri masing-masing. Ini berbeza berbanding sebelum ini apabila hanya ada satu tempat untuk menghantar bidaan iaitu biasanya di Kuala Lumpur.

“Saya harap orang ramai membida nombor plat Malaysia kerana ia dibuat sekali sahaja dan kita harap dapat menjana pendapatan tinggi untuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JPJ negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan.

Terdahulu, Siew Fook menghantar borang untuk membida nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia 509’ iaitu simbolik kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu dengan harga bidaan RM1,509.

Ujarnya, kementerian itu tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan namun berharap dapat mengatasi jumlah tertinggi bagi siri nombor ‘F’ iaitu RM22 juta. - UTUSAN ONLINE