Naib Canselor Universiti Limkokwing, Prof. Cedric Bell berkata, kesemua mereka terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin mengambil kursus asas, diploma dan ijazah sarjana muda bagi pengambilan Julai 2017.

“Bagi tahun 2016, sejumlah 18 pelajar meneruskan pengajian dalam pelbagai kursus di bawah biasiswa itu dan bagi tahun kedua tahun ini, 37 pelajar di­pilih untuk program biasiswa penuh.

“Salah satu tujuan biasiswa ini adalah untuk menyediakan peluang kepada pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan juga yang kurang berkemampuan dari segi kewangan,” katanya dalam Majlis Penye­rahan Biasiswa Kumpulan Utusan-Universiti Limkokwing di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Jamal Ahmed Ali Ahmad.

Sementara itu, Pengurus Besar di Pejabat Pe­ngarah Urusan Kumpulan Utusan, Azlan Naim Abdullah berkata, pemberian biasiswa berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Utusan dan dijalankan de­ngan kerjasama Universiti Limkokwing.

“Penilaian bagi pemilihan pelajar dibuat berdasarkan beberapa syarat tertentu antaranya pencapaian akademik dan minat dalam bidang yang berpotensi. Kesemua pelajar memohon melalui iklan yang disiarkan dalam akhbar di bawah Kumpulan Utusan,” katanya.

Salah seorang penerima biasiswa itu tahun lalu, Saif Ali Jamal Ahmed, 22, berkata, pengalamannya selama setahun di Universiti Limkokwing sangat berharga dan tidak akan disia-siakan.

“Sistem pendidikan di Universiti Limkokwing sangat terbuka dan saya bukan sahaja dapat belajar tetapi dapat berkomunikasi dengan pelajar dari seluruh dunia. Kampusnya pula mempunyai ruang belajar yang sangat selesa, bangunan gah dan persekitaran sangat kondusif untuk belajar,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Haseena Thasneem Ibrahim, 20, berkata, meskipun agak gemuruh untuk memulakan pe­ngajian di Universiti Limkokwing kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, dia kini dapat menyesuaikan diri.

“Pensyarah dan rakan-rakan sangat baik, memahami dan sentiasa memberi sokongan malah mereka membantu memperbetulkan bahasa Inggeris saya,” ujarnya.