“Saya terpaksa berkahwin dan dimadukan tanpa diketahui isteri pertama kerana amat menyayangi suami serta rela mengahwininya tanpa kebenaran keluarga di selatan Thailand setahun lalu.

“Walaupun keluarga tidak merestui, saya mengambil pendekatan untuk mencari rumah sewa dan tinggal bersama suami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Disebabkan perkahwinannya tidak diketahui masyarakat sekitar, keluarganya tidak mengadakan sebarang majlis untuk meraikan perkahwinan tersebut.

“Saya tidak menyalahkan mereka, namun tekad untuk berkahwin dengan suami kerana mahu memastikan hubungan kami berkekalan walaupun perlu menyembunyikan perkahwinan pada keluarga pada awalnya.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini, isteri pertama suami saya tidak mengetahui tentang perkahwinan ini kerana khuatir dimarahi isteri dan anak-anaknya,” katanya.

Fatimah yang berkahwin sejak setahun lalu mengambil keputusan berkahwin dengan suaminya setelah mengenali lelaki itu lebih empat tahun melalui kenalannya.

“Saya mengenali suami ketika keluar bersama rakan. Walau bagaimanapun, suami agak berterus-terang tentang status perkahwinannya. Oleh itu, saya mula percaya dan mula menyukai padanya ketika itu.

“Walaupun ada rakan yang membantah selepas mengetahui status suami orang, saya tidak mengendahkan kerana berpendapat lelaki tersebut sangat mengambil berat tentang diri saya sehingga sekarang,” katanya.

Katanya, walaupun ada yang memandang serong kepadanya kerana suami tidak sering pulang ke rumah, dia menganggap itu cabaran menjadi isteri kedua.

“Dalam seminggu suami hanya berada di rumah sehari dan perlu pulang segera ke rumah isteri pertama kerana khuatir diketahui oleh isterinya.

“Saya tidak kisah tinggal berseorangan di rumah kerana akan menyibukkan diri dengan pelbagai aktviti bersama rakan seperti menonton wayang dan bermain boling,” katanya.