Tunku Azizah ketika ditemubual secara eksklusif oleh Utusan Online bertitah, minatnya itu mendapat sokongan sepenuhnya dari ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

“Selalu ayahanda berpesan biar istana dikenali dengan keenakan masakan bukan kecantikan istana.

“Saya memang minat memasak sejak kecil, bermula dengan kupas bawang, cabut taugeh dan minat itu sehingga sekarang.

“Sebahagian dari kepuasan saya apabila dapat masak dan bagi orang makan,” titah baginda.

Baginda bertitah selepas majlis perasmian buku masakan Air Tangan Tengku Puan Pahang di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Resipi-resipi terpilih yang terkandung dalam buku eksklusif itu diperoleh dari seluruh pelusuk negeri Pahang, merangkumi setiap daerah dari Temerloh, Lipis, Jerantut, Raub, Rompin, Cemeron Highlands, Bentong, Pekan, Kuantan, Maran hingga ke Bera.

Terdapat juga tambahan resipi terpilih diraja dari Istana Pahang, selain beberapa masakan tradisi dari masyarakat Orang Asli Pahang yang turut disertakan.

Hampir kesemua resipi tradisional direkodkan, dipulihara mengikut cara dan kaedah tradisinya.

Buku Air Tangan Tengku Puan Pahang - Masakan Tradisional Pahang dijual dengan harga RM380.00, manakala Air Tangan Tengku Puan Pahang - Manisan Tradisional Pahang dijual dengan harga yang sama dan boleh didapati di laman web cheminahsayang.com. - UTUSAN ONLINE