Baru-baru ini kerajaan Nepal menghentikan penghantaran pe­­kerja mereka atas beberapa alasan termasuk dakwaan pemonopolian dan penglibatan Bestinet da­lam aktiviti haram melalui program Migrams.

Penasihat Undang-undang Bes­tinet, Datuk N. Sivananthan ber­kata, pihaknya hanya me­ngendalikan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan pekerja yang dibawa masuk ke negara ini benar-benar bebas daripada sebarang penyakit dengan bayaran serendah RM100 setiap seorang.

“Kami hanya penyedia sistem penyelesaian berpusat dan bukan agensi pengambilan pekerja asing.

“Sebaliknya, urusan penghantaran dilakukan oleh kerajaan dan agensi pengrekrutan negara-negara yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Bestinet, V. Rathakrishnan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ismail Mohd. Noor.

Hari ini, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran ketika dalam jawapan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat memberitahu, penghentian pekerja oleh kerajaan Nepal adalah ekoran dakwaan penglibatan syarikat pengendali Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing itu dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Sehubungan itu, Sivananthan berkata, Bestinet akan berjumpa dengan Kula Segaran bagi menjelaskan dakwaan ke atas syarikatnya itu dalam masa terdekat.

“Menteri mungkin disalah maklumkan mengenai perkara itu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhan, terdapat 10 proses untuk kemasukan pekerja asing ke Malaysia yang dikendalikan oleh pihak-pihak yang berbeza dan Bestinet hanya bertanggungjawab mengendalikan salah satu daripada proses berkenaan.

“Bestinet tidak terbabit dalam proses-proses lain seperti Pelepasan Sekuriti Imigran (ISC), Visa Luar Negara (VLN) atau Khidmat Pusat Sehenti (OSC) dan ia dikendalikan oleh syarikat atau pihak berbeza,” katanya.

Beliau juga menambah, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang masih menyebarkan dakwaan tidak berasas terhadap syarikatnya selepas sidang akhbar hari ini. 

Sementara itu, sambil menafikan penglibatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dalam syarikat itu, Rathakrishnan menjelaskan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor dan Datuk Tengku Omar Tengku Bot.