Itu antara luahan peniaga tempatan yang mendakwa di­ugut sekumpulan samseng dipercayai melindungi peniaga warga asing di Kompleks Pasar Besar Jalan Meru, Klang, Selangor.

Kumpulan samseng berke­naan yang terdiri daripada warga tempatan dipercayai menerima bayaran bulanan serta berkomplot dengan penyewa asal tapak perniagaan di pasar berkenaan bagi membenarkan warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya berniaga di pasar berkenaan.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Sammy, 54, mendedahkan, kumpulan samseng itu memberi amaran keras supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan aktiviti perniagaan warga asing mahupun pekerja yang tidak mempunyai permit.

Jelasnya, memandangkan mereka dilindungi, peniaga a­sing semakin besar kepala dan kian bermaharajalela sehingga mampu mengawal harga bara­ngan demi mengaut keuntungan.

“Walaupun bayaran sewa yang kami bayar lebih murah, tetapi terpaksa akur dengan ‘kese­pakatan’ peniaga asing apabila sering ‘buang harga’ barang antara 10 hingga 30 peratus semata-mata untuk menarik pembeli.

“Menyedari hal itu, kami pula diugut oleh sekumpulan samseng agar tidak melaporkan sebarang aktiviti melibatkan warga asing di pasar ini kepada mana-mana pihak penguat kuasa berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia di pasar ber­kenaan baru-baru ini.

Sehubungan itu, penjaja ter­babit turut memberitahu, peniaga lain juga mula bosan dengan sikap peniaga asing yang kerap kali menimbulkan kekecohan dalam kalangan mereka sendiri sehingga mengganggu pengunjung dan peniaga tempatan.

Kelmarin, Mingguan Malaysia menerusi laporan khas bahagian satu menyiarkan masalah kebanjiran warga asing yang kian mendominasi beberapa pasar borong utama sekitar Lembah Klang.

Bagi peniaga, Peng, 50, yang sudah lebih 20 tahun berniaga di sana mendakwa sejak peniaga asing menguasai pasar tum­puan penduduk daerah Klang itu, hampir setiap minggu ada pergaduhan dan mengganggu operasi perniagaan.

“Apa yang menghairankan, sekiranya ada pemeriksaan pe­nguat kuasa, mereka seperti sudah dimaklumkan dan penyewa asal turut akan ke sini bagi memastikan perbuatan menyewakan lot dan lesen mereka kepada warga asing tidak terbongkar.”