Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hypermarket sebenar­nya boleh memberi kerjasama dengan tidak menaikkan harga barangan keperluan ‘popular’ dalam kala­ngan pengguna seperti minyak masak, tepung dan Milo.

Beliau berkata, segmen makanan merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan kos sara hidup iaitu sebanyak 30 peratus, diikuti perumahan dan utiliti kira-kira 21 peratus dan pengangkutan kira-kira 20 peratus.

“Oleh kerana segmen makanan penyumbang terbesar, maka pelaksanaan subsidi bersasar yang bakal dinikmati golongan B40, perbe­lanjaan isi rumah dalam kategori di luar lingkungan B40 dijangka akan meningkat.

“Dalam sebuah hypermarket ada 35,000 hingga 40,000 SKU (stock keeping unit), setiap barangan itu dipanggil SKU. Kalau dia (hypermarket) memberi kerjasama dengan tidak menaikkan (harga) 40 hingga 50 item popular, dia masih ada lagi lebih 34,000 barang yang boleh diniagakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran pihak kementerian bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, program ‘food bank Malaysia’ yang akan memberi manfaat kepada rakyat, akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 22 Disember ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program yang bersifat prorakyat itu akan membabitkan semua hypermarket, hotel dan ‘food oulet’ di seluruh negara dengan pihak kementerian akan bertindak sebagai penyelaras.