Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, masalah tersebut merupakan isu besar yang dihadapi oleh mereka kerana ia melibatkan kerugian sebanyak RM950 juta setahun.

“Dalam erti kata lain, mereka (golongan pesawah) boleh mendapatkan lebih banyak duit jika mereka dapat elakkan kehilangan padi lepas tuai ini sehingga tahap minimum.

“Oleh itu, sikap pesawah juga harus berubah ke arah menjadi petani moden. Kalau pesawah itu sendiri tidak mahu berubah, pencapaian mereka tidak akan menjadi seperti apa yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­nyempurnakan majlis penyerahan bantuan khas pesawah peringkat negeri di Arena Square Chenderong Balai di sini hari ini.

Sebanyak 4,000 pesawah dari seluruh negeri ini termasuk dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Seberang Perak, Felcra Seberang Perak dan Luar Jelapang Daerah Kuala Kangsar, Perak Tengah, Hilir Perak serta Larut, Matang dan Selama hadir memeriahkan majlis.

Dalam pada itu, Tajuddin ber­kata, selain memfokuskan kepada pembangunan modal insan, pihaknya juga meneruskan akti­viti-aktiviti fizikal merangkumi penyediaan kemudahan infrastruktur termasuk sistem pengairan yang lebih efisien.

Malahan katanya, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) juga tidak jemu-jemu melakukan kajian bagi menghasilkan benih padi bermutu sekali gus mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran.

“Selain itu, kerajaan juga telah menyalurkan bantuan baja bersubsidi yang berkualiti dan pelbagai input bantuan termasuk racun rumpai dan racun pemusnah perosak bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman masing-masing,” katanya.