Shamsiah berkata, bibit pertemuan dia dengan arwah suami pada tahun 1987 dan suami terkini pada tahun 2000 sentiasa bermain di fikirannya menjelang hari-hari terakhir Ampang Park akan ditu­tup dan dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT).

Ketika mengimbau kembali kenangan tersebut, dia dan arwah suaminya sering datang ke situ untuk membawa keluarga membeli ba­rangan keperlu­an mereka sekeluarga terutama pada musim perayaan.

“Setiap bibit pertemuan kami masih segar dalam ingatan saya dan hari ini saya antara individu yang paling sedih kerana tercatat pelbagai kenangan lebih-lebih lagi ketika pertemuan dengan arwah suami.

“Selain itu, di sinilah pekerjaan saya yang pertama sebaik menamatkan persekolahan dan hubungan dengan rakan-rakan dan pengunjung tetap seolah-olah seperti saudara-mara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia yang kini mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan pertama dan kedua juga masih mengingati bagaimana saat Ampang Park mengalami ‘kejatuhan’ ketika pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park.

“Mereka meletakkan penghadang seolah-olah ia seperti ditutup. Ramai yang menyangka ia akan dirobohkan. Keadaan lengang dan peniaga juga mengalami kerugian. Suasana begitu sepi sekali.

“Tiada orang muda yang datang melepak. Tetapi hari ini, ia benar-benar dirobohkan dan saya pasti generasi yang ‘membesar’ bersama Ampang Park sedih,” katanya.

Dalam pada itu, Abidah Misran, 62, yang telah berkhidmat di Ampang Park sejak dibuka kira-kira 44 tahun dahulu menyifatkan pusat beli-belah tersebut sebagai rumah kedua baginya.

Dia yang bertemu jodoh dengan suaminya hanya beberapa bulan selepas bekerja di situ juga akan menceritakan kenangan tersebut kepada anak cucunya sebagai ingatan kepada pusat membeli belah pertama di negara ini.

“Terlalu banyak kenangan saya dan Ampang Park. Malah, saya akan rasa sedih selepas ini jika melihat kawasan itu nanti,” ujarnya.