Kempen itu yang pertama kali diadakan akan meletakkan satu lagi tanda aras baharu bagi jemaah Malaysia untuk dicontohi negara lain.

Selain itu, dengan segala keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah Malaysia dan Tabung Haji, kempen itu adalah sebagai salah satu cara untuk membalas semula kebaikan tersebut dengan memastikan kawasan khemah Malaysia paling bersih selepas operasi masyair berakhir.

Pelancaran kempen itu bertemakan Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji, disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof di Land Premium di sini.

Menurut Mujahid, menerusi kempen itu, jemaah diminta bergotong-royong selama sejam dari pukul 8 hingga 9 pagi membersih­kan persekitaran khemah ma­sing-masing di Mina selama tiga hari pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Menurut beliau, mereka akan dibekalkan dengan plastik untuk mengutip sampah, manakala pihak Muassasah Asia Tenggara bekerjasama menyediakan tong sampah besar di kawasan khemah.

“Kita mahu tambah satu lagi nilai akhlak kepada jemaah Malaysia iaitu menjaga kebersihan...ia terlalu hampir dengan akhlak sebagai seorang Islam. Belum ada negara lain yang lakukan ini,” katanya.

Sementara itu seorang jemaah, Zahrah Ab. Kadir berpendapat kempen itu baik memandangkan di Mina tiada pekerja untuk membersihkan sampah-sarap yang dibuang jemaah.

Ruslina Ahmad pula berkata, dia dan rakan-rakan sebilik sudah mula mengumpul plastik untuk digunakan bagi mengutip sampah selepas diberitahu me­ngenai kempen itu oleh pihak Tabung Haji.

Palam Karim pula berkata, kempen itu memberi motivasi kepada mereka untuk menjaga kebersihan, malah dia dan rakan-rakannya berura-ura mahu me­ngadakan pertandingan kebersihan bagi khemah masing-masing walaupun tanpa hadiah dise­diakan.