Duta Besar Korea Utara, Kang Chol dalam sidang akhbarnya pada Jumaat lalu mendakwa Malaysia mempunyai ‘sesuatu untuk disembunyikan’ selain ‘berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar’ dalam pengendalian kes tersebut, yang merujuk kepada Korea Selatan.

Agensi berita Yonhap melaporkan, Kementerian Penyatuan menolak sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak munasabah dan mengelirukan.’

“Kenyataan Duta Besar Korea Utara adalah dakwaan yang sa­ngat tidak munasabah malah tidak berbaloi untuk diperkatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kang Chol semalam turut mendakwa Korea Utara tidak mempercayai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menuduh Malaysia berlaku ‘tidak adil’ dan tidak mencari punca kematian sebalik­nya mempunyai agenda politik.

Malah tuduhan terhadap penglibatan Korea Selatan dalam kes pembunuhan tersebut dibuat ekoran media negara itu terlebih dahulu melaporkan kematian serta mengetahui identiti sebenar Jong-nam sedangkan Korea Utara masih belum dimaklumkan mengenainya.

Namun Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, proses bedah siasat dijalankan memandangkan kematian berlaku dalam keadaan yang mencurigakan malah diklasifikasikan sebagai mati mengejut maka menjadi tanggungjawab negara menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

Pihak Kedutaan Korea Utara juga dimaklumkan mayat akan diserahkan kepada waris mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada sebaik sahaja siasatan selesai justeru itu kritikan yang dibuat oleh Kang Chol adalah tidak berasas.

Tambah kenyataan itu, Malaysia sentiasa mengambil serius segala tuduhan yang dilemparkan yang bertujuan mencemarkan reputasi negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman juga menegaskan, sebarang tohmahan yang menuduh Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing dalam siasatan kes pembunuhan tersebut merupakan satu bentuk pem­bohongan dan tuduhan yang berasaskan khayalan semata-mata malah merupakan penghinaan yang amat besar terhadap negara.