Perdana Menteri berkata, program biodiesel itu amat penting bagi negara kerana pokok sawit merupakan ‘golden crop’ (tanaman penting) negara dan menjana ekonomi negara sejak sekian lama.

Menurutnya, penggunaan biodiesel sawit akan memberi impak yang positif terhadap industri sawit melalui pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya menstabilkan harga minyak sawit.

“Melalui usaha ini, pekebun kecil sawit seramai 650,000 akan terus menikmati harga sawit yang lebih stabil dan meningkatkan pendapatan. Program Biodiesel negara juga akan membantu negara mencapai objektif mobiliti karbon rendah seperti yang digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK- 11),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Program B10 Sektor Pengangkutan di Dataran Putra, di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, beliau yakin program B10 untuk sektor pengangkutan akan berjalan dengan lancar dan dapat meningkatkan permintaan minyak sawit dalam negara mulai Disember 2018.

Di samping itu, katanya beliau berharap pelaksanaan program B7 untuk pertama kali di sektor industri bermula 1 Julai 2019 akan menjadi pelengkap program biodiesel negara dalam mengukuhkan pasaran domestik minyak sawit.

“Rakyat Malaysia harus berbangga dengan produk biodiesel sawit sendiri yang kini digunakan sebagai tenaga mampan yang boleh diperbaharui dan memberi sumbangan dalam menangani perubahan iklim dunia,” katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, beliau berharap program biodiesel itu diberikan perhatian serius dalam Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) yang sedang dirangka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada ketika ini.

Katanya, kerajaan seharusnya memastikan pada masa akan datang hanya kenderaan diesel yang boleh menerima biodiesel lebih daripada 10 peratus dijual di Malaysia.

“Saya menyeru agar pengeluar kenderaan dan pengeluar peralatan tulen (OEM) bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Program B10 ini termasuk sebarang program biodiesel pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE