Baginda bertitah, pertumbuh­an ekonomi global yang perlahan dengan unjuran sekitar 3.4 peratus tahun ini telah memberi kesan ketara kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia.

“Ditambah pula dengan per­kembangan semasa poltik Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan peningkatan mendadak nilai mata wang dolar AS.

“Justeru, beta menyeru agar semua pihak yang terlibat dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu ini,” titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan 2016 sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-47 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Yang turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Mahkota, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; pemimpin Kerajaan Pas Kelantan, para pembesar istana dan kaum kerabat baginda.

Dalam istiadat tersebut, ba­ginda berkenan menganugerah­kan darjah kebesaran negeri, bin­tang dan pingat kepada 599 penerima.

Sultan Muhammad V juga berharap kerjasama yang terjalin di antara Kerajaan Pusat dan negeri selama ini dapat diteruskan demi kepen­tingan rakyat.

Titah baginda, kerjasama Ke­rajaan Persekutuan dan negeri terutama dalam pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) mesti dikekalkan demi pembangunan negeri ini.

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita apabila dua cada­ngan projek utama di negeri ini iaitu Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Thailand dan Jambatan Kedua Sungai Golok, Thailand akan dilaksanakan se­gera tahun depan.

“Harapan beta dengan terlaksananya kedua-dua projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat terutama yang tinggal bersempadan dengan Thailand,” titah baginda.