ZAINAL RAHIM SEMAN

Beliau berkata, mereka yang bersara awal atas sebab kesihatan, antaranya kerana kemalangan jalan raya dan gangguan psikologi selepas disahkan Lembaga Perubatan akan menerima faedah persaraan seolah-olah berkhidmat hingga umur persaraan wajib, mengikut formula yang munasabah.

“Kerajaan dapati kita perlu sediakan peraturan untuk penjawat awam yang tidak dapat menjalankan tugas atas sebab kesihatan. Jadi, kita berikan kelonggaran dibersarakan de­ngan menerima faedah pencen bulanan yang lebih baik berbanding jika ditamatkan dengan serta-merta.

“Kalau mereka dibiarkan ber­tugas dengan keadaan tidak sihat, kesihatan mereka akan bertambah teruk kerana mereka tidak selesa dan ini akan menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam,” katanya dalam pertemuan dengan petugas media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, peraturan baharu yang digubal itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Zainal Rahim berkata, anggaran permohonan penjawat awam yang mengalami gangguan kesihatan adalah antara 200 hingga 220 orang setahun.

Menerusi formula baharu itu, seorang penjawat awam yang berkhidmat selama lebih 12 tahun dan 23 hari dan mohon bersara atas alasan kesihatan, dijangka menerima ganjaran sebanyak RM70,000 dengan pencen bulanan sebanyak RM1,200.

“Berbanding peraturan yang diguna pakai sekarang, penjawat awam itu hanya mendapat ganjaran sebanyak RM21,600 dengan pencen bulanan sebanyak RM479.99.

“Pencen bulanan mengikut formula baharu ini lebih hampir tiga kali ganda,” katanya.

Dengan peraturan baharu itu, beliau menjangkakan lebih ramai penjawat awam menghadapi masalah kesihatan, yang sebelum ini enggan bersara awal kerana bimbang hilang sumber pendapatan, akan menawarkan diri untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, ramai penjawat awam yang sakit keberatan untuk bersara awal. Antara alasan ialah mereka baru bertugas 10 atau 15 tahun dan perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah serta jumlah pencen rendah.

“Kerajaan prihatin dengan keadaan mereka. Kita tengok keluarga terpaksa hantar mereka dari jauh, ada yang naik kerusi roda datang pejabat, muka dalam keadaan tertekan dan bimbang. Jadi, kita sediakan peraturan baharu untuk mereka bersara dan hidup dengan selesa,” jelasnya. – BERNAMA